PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

Sunday, 22 November 2015

Malaysian Football Heritage Collections Exhibition Visited By Tun Dr Mahathir Mohamad

During weekend, as usual, Kelab Jersi Kita held a Malaysian Football Heritage Collections Exhibition and it was visited by jersey collectors and surprisingly by former Malaysia Prime Minister, Tun Dr Mahathir Mohamad. It was a precious moment when Tun Dr Mahathir proudly holding the Kedah Malaysia Cup 1993 Champion Jersey as he came from Kedah. Tun Dr Mahathir was a fan of Kedah football team. However, what is important during the exhibition is that we can share knowledge and information among public about our Malaysian football heritage. We are proud of our football heritage. Its all about passion and sharing is caring. Below are the photos during the exhibition:-

  The Malaysian football collections. On the left was a Malaya flag.

Precious Malaysian football collections.

Various kinds of Malaysian football collections dated back 1933.

The match/programme books.

Precious jerseys from Malaysian football scene.

Apart from jerseys, there were match pennants.

Tun Dr Mahathir interested in Kedah jersey as he was a fan of Kedah.

Tun Dr Mahathir taking photo together with the jersey collectors, holding the Kedah Malaysia Cup 1993 Champion jersey. 

The jersey collectors together with the heir.

Wednesday, 15 July 2015

Pesta Bola Merdeka Yang Pertama Tahun 1957

    Buat julung kalinya, Tuanku Abdul Rahman selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya yang berjiwa sukan telah menganjurkan suatu pertandingan bola sepak berprestij yang dinamakan Pesta Bola Merdeka sempena menyambut kemerdekaan Malaya pada tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Ini adalah pertandingan Pesta Bola Merdeka yang pertama di dalam sejarah Malaysia. Pertandingan ini merangkumi beberapa buah negara serta tanah jajahan British di Asia seperti Malaya, Indonesia, Thailand, Singapura, Burma, Cambodia, Vietnam Selatan dan Hong Kong. Pesta Bola Merdeka ini diadakan pada 31 Ogos 1957 sehinggalah pada 7 September 1957 bertempat di Stadium Merdeka. Pasukan Malaya memulakan latihan pada 25 Ogos 1957 dan para pemainnya terdiri daripada pemain pasukan Selangor (Ng Mun Keai, Edwin Dutton, Abdul Ghani Minhat, S.Lourdes, Joe Soosay, Govindarajoo, Narayanasamy, Tang Cheok Foo), pemain pasukan Negeri Sembilan (Mok Wai Kin, Mok Wai Hong, Rahim Omar), pemain pasukan Perak (Wong Kong Leong, Liew Fee Yuen), pemain pasukan Johor (Ong Kim Hock, Yip Chong Yin, Voon Shin), pemain pasukan Melaka (Tan Ban Chuan) dan pemain pasukan Pulau Pinang (Pang Siang Hock, Aziz Ahmad, Chua Poh Aun). Arthur Manuel dilantik sebagai pengurus pasukan Malaya dan Neoh Boon Hean pula sebagai jurulatih pasukan Malaya.

Pesta Bola Merdeka 1957

Pasukan Malaya

    Perasmian Pesta Bola Merdeka ini dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman pada jam 5:30 petang pada 31 Ogos 1957 disertai dengan perbarisan masuk lapan pasukan yang bertanding di pertandingan Pesta Bola Merdeka ini. Piala kemenangan bagi juara Pesta Bola Merdeka ini dinamakan sebagai Piala Perdana Menteri dan pembuatannya menelan belanja Dollar Malaya 1,400.00. 

Piala Perdana Menteri

    Pada pusingan pertama, pasukan Malaya berjaya mengalahkan Burma dengan jaringan 5-2. Pasukan Malaya mara ke pusingan kedua. Di pusingan kedua, pasukan Malaya dikalahkan oleh pasukan Vietnam Selatan dengan jaringan 1-4. Kemudian pasukan Malaya bertemu dengan pasukan Hong Kong dan terikat dengan jaringan 3-3. Akhirnya pasukan Malaya mara ke pusingan penentuan tempat ketiga. Dukacitanya, pasukan Malaya kalah kepada pasukan Indonesia dengan jaringan 2-4. Pasukan Indonesia berjaya mendapat tempat ketiga. Manakala di pusingan akhir, pasukan Hong Kong muncul juara bagi Pesta Bola Merdeka 1957 dengan kemenangan mengalahkan pasukan Vietnam Selatan dengan jaringan 3-1. 

Pasukan Malaya bertemu pasukan Burma.

    Namun demikian, kemenangan pasukan Hong Kong sebagai juara Pesta Bola Merdeka 1957 adalah suatu tamparan hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaya dan juga kesemua pasukan kebangsaan yang bertanding di Pesta Bola Merdeka 1957 kerana pasukan Hong Kong yang menjuarai Pesta Bola Merdeka ini adalah bukan daripada pasukan bola sepak kebangsaan Hong Kong, tetapi adalah daripada pasukan Kelab Bola Sepak Eastern Athletic Association di Hong Kong. Punca utama Persatuan Bola Sepak Hong Kong menghantar pasukan bola sepaknya yang bertaraf kelab ke Pesta Bola Merdeka ini adalah kerana Persatuan Bola Sepak Hong Kong menganggap Pesta Bola Merdeka ini adalah kejohanan bola sepak yang tidak rasmi di rantau Asia Tenggara. Ini adalah suatu cabaran hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaya untuk mengangkat Pesta Bola Merdeka sebagai suatu kejohanan bola sepak yang rasmi dan berprestij di rantau Asia Tenggara. Kemudian, usaha Persatuan Bola Sepak Malaya berjaya membuahkan hasil apabila Pesta Bola Merdeka ini bukan sahaja menjadi suatu kejohanan bola sepak yang rasmi dan berprestij di rantau Asia Tenggara, tetapi ianya juga menjadi tumpuan utama pasukan bola sepak dari rantau lain seperti Jepun serta Korea Selatan untuk bertanding dan meningkatkan mutu bola sepak negara masing-masing. Walau bagaimanapun, kini Pesta Bola Merdeka sudah tidak semeriah dahulu kerana telah kehilangan taringnya yang suatu ketika dahulu sentiasa digegarkan oleh pasukan Harimau Malaya. Suatu usaha yang padu perlu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk mengembalikan zaman kegemilangan Pesta Bola Merdeka yang penuh bersejarah ini.

Saturday, 27 June 2015

Perak Menjulang Piala Malaya 1926 Untuk Kali Pertama

Piala Malaya 1926 adalah pentas bola sepak yang penuh bersejarah bagi pasukan Perak. Pada ketika ini pasukan Perak diketuai oleh D.J. Fleming selaku kapten pasukan. Pertandingan bola sepak Piala Malaya 1926 disertai oleh beberapa buah negeri di Tanah Melayu yang dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Utara dan Zon Selatan. Zon Utara melibatkan pertandingan di antara Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Manakala, Zon Selatan melibatkan pertandingan di antara Singapura, Melaka dan Negeri Sembilan. Pertandingan akhir Piala Malaya 1926 adalah pertemuan di antara johan Zon Utara dengan johan Zon Selatan. Pertandingan di Zon Selatan bermula dengan pertandingan yang melibatkan pasukan Melaka, Singapura dan Negeri Sembilan. Kemudian, pasukan Singapura dan Negeri Sembilan berjaya mara ke pusingan akhir Zon Selatan. Akhirnya, pasukan Singapura muncul johan Zon Selatan mengalahkan pasukan Negeri Sembilan. Bagi pertandingan Zon Utara pula bermula dengan pertandingan di antara pasukan Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Pasukan Selangor dan Perak berjaya melangkah ke pusingan akhir Zon Utara. Pusingan akhir Zon Utara diadakan di Ipoh, Perak pada 6 September 1926 dan berlaku dengan sengit kerana kedua-dua pasukan bermain ketika cuaca hujan dan padang yang berlecak. Namun ia tidak menjadi halangan untuk pasukan Perak muncul johan Zon Utara mengalahkan pasukan Selangor 2-1. Selepas itu, pertandingan akhir Piala Malaya 1926 berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 11 September 1926 dengan pertembungan di antara johan Zon Utara dengan johan Zon Selatan iaitu di antara pasukan Perak dengan pasukan Singapura. Pemain pasukan Perak terdiri daripada Syed Drus (penjaga gol), Peng Seong, Xavier, Carey, Wayte, Edlin, Mee Onn, Jansz, Phooi Choong, Shee Dan, Osman (simpanan) dan diketuai oleh D.J. Fleming selaku kapten pasukan. Bagi pasukan Singapura pula, para pemainnya terdiri daripada  Boon Eng (penjaga gol), Cheok Wah, Yeow Soon, Seng Chye, Chee Lim, Boon Lay, Wan Puteh, Chan Hee, Yong Liang, Mun Fan dan diketuai oleh Roy Smith selaku kapten pasukan. Pertandingan akhir Piala Malaya 1926 ini berlangsung dengan sengitnya di hadapan 5 000 penonton dan juga disaksikan oleh Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson. Kekuatan kedua-dua pasukan amat hebat sehingga pertandingan ini terpaksa diheret sehingga ke masa tambahan dan akhirnya selepas lima minit masa tambahan, pasukan Perak berjaya menjaringkan gol melalui Pooi Choong dan muncul juara Piala Malaya buat kali pertamanya dalam sejarah iaitu pada tahun 1926. Pasukan Perak mengalahkan pasukan Singapura dengan kemenangan 1-0. Piala Malaya disampaikan oleh Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson kepada kapten pasukan Perak iaitu D.J. Fleming. Piala Malaya 1926 merupakan detik bersejarah dan kebanggaan bagi pasukan Perak kerana ini adalah kemenangan pertama Piala Malaya bagi pasukan Perak.


Pasukan Perak duduk sebelah kanan dan pasukan Singapura duduk sebelah kiri bergambar bersama Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson yang duduk di tengah-tengah di belakang Piala Malaya.


Catatan berkenaan keputusan Piala Malaya 1926 bagi gambar di atas.




Tuesday, 24 March 2015

Menyingkap Detik Permulaan Piala HMS Malaya

HMS Malaya adalah sebuah kapal perang kelas Permaisuri Elizabeth di dalam Tentera Laut Di Raja British. Dilancarkan pada 18 Mac 1915 dan ditauliahkan pada 1 Februari 1916. Kapal perang ini dinamakan HMS Malaya sempena menghargai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Malaya yang telah membiayai pembinaan kapal perang ini. Kapal perang ini telah beraksi semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.


Tanggal 29 Januari 1921, kapal HMS Malaya telah berlabuh di Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang) untuk lawatan rasmi ke Malaya di bawah kepimpinan Kapten Percy M.R. Royds yang kemudiannya melakar sejarah penting terhadap kelahiran Piala HMS Malaya dan juga perkembangan bola sepak di Malaya. Kunjungan kapal HMS Malaya ke Malaya diisi dengan pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti perlawanan bola sepak dan ragbi. Perlawanan bola sepak dan ragbi diadakan di antara pasukan HMS Malaya dengan pasukan-pasukan tempatan dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Perak dan Selangor serta dari Negeri-Negeri Selat seperti Singapura dan Pulau Pinang. Rentetan daripada perlawanan pertama inilah lahirnya Piala HMS Malaya. Pada mulanya perlawanan bola sepak ini lebih dikenali sebagai Piala Malaya tetapi terdapat juga akhbar tempatan yang telah menggelarnya sebagai Piala HMS Malaya. Namun demikian, nama Piala HMS Malaya secara rasmi mula digunakan pada tahun 1933 menggantikan nama Piala Malaya yang digunakan pada tahun 1921 sehingga tahun 1932. Pada perlawanan pertama ini, pasukan Singapura menjadi johan. Piala disumbangkan oleh kapal HMS Malaya melalui Kapten Percy M.R. Royds. Setelah tamatnya perlawanan pertama Piala Malaya ini, pada 2 Oktober 1921, Kapten Percy M.R. Royds telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Setiausaha Kerajaan jajahan British di Malaya agar memasukkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di dalam perlawanan Piala Malaya tahun berikutnya. Semangat kesukanan yang ada pada Kapten Percy M.R. Royds inilah yang akhirnya berjaya melibatkan keseluruhan jajahan British merangkumi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat di bawah satu perlawanan bola sepak Piala Malaya yang kemudiannya menyumbang kepada perkembangan sukan bola sepak di Malaya sehingga disegani ramai.

 Pasukan bola sepak kapal HMS Malaya.

Piala yang disumbangkan oleh kapal HMS Malaya pada tahun 1921.




Namun, pada tahun 1944, kapal HMS Malaya di nyahtauliahkan dari perkhidmatannya dan akhirnya diceraikan menjadi besi buruk. Hanya tinggal kenangan adalah loceng kapalnya. Inilah kisah sebuah kapal yang memainkan peranan penting di dalam mewujudkan Piala HMS Malaya di tanah air kita. 



Sunday, 1 March 2015

Wujudnya F.A.M dan simboliknya maskot "Tuah"

Tanggal 13 September 1926 terlakarlah sebuah sejarah bola sepak tanah air, suatu mesyuarat bersama wakil-wakil pertandingan bola sepak Piala Malaya dari Singapura, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan telah diadakan pada hari Sabtu pagi di Kelab Selangor, di mana Encik J.M. Sime adalah pengerusinya. Di dalam mesyuarat tersebut telah dipersetujui secara sebulat suara untuk menubuhkan Malayan Football Association (M.F.A) dan Encik J.M. Sime adalah presidennya. Draf peraturan M.F.A pula dibuat oleh Encik W.D. Mavor dari Selangor Football Association. Dalam mesyuarat ini juga diputuskan bahawa pejabat berdaftar M.F.A hendaklah berada di ibu negeri persekutuan iaitu Kuala Lumpur.

Bermula dari detik ini, kesemua persatuan, kelab dan pertubuhan bola sepak di Malaya dan Singapura diletakkan di bawah satu bumbung M.F.A yang bertanggungjawab mengawal selia perkembangan serta kemajuan bola sepak Malaya dan Singapura.

Walau bagaimanapun, pada mesyuarat tahunan M.F.A pada 18 Januari 1932 bertempat di Kelab Selangor yang dipengerusikan oleh Presiden M.F.A, Encik Andrew Caldecott dan disokong oleh Timbalan Presiden M.F.A, Dr. J.S. Webster, ahli-ahli mesyuarat telah memutuskan untuk penjenamaan semula nama M.F.A kepada nama baru iaitu Football Association of Malaya (F.A.M). Mesyuarat ini juga dihadiri oleh wakil-wakil dari Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Singapura.








Akhirnya perkara ini menjadi kenyataan pada tahun 1933 di mana nama Malayan Football Association (M.F.A) ditukarkan kepada nama Football Association of Malaya (F.A.M) dan presidennya ialah Encik Andrew Caldecott.


Namun pada tahun 1951 adalah tahun yang amat bermakna apabila jawatan Presiden F.A.M disandang oleh Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu bakal Perdana Menteri Malaya/Malaysia yang pertama. Ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan Pesta Bola Merdeka buat pertama kalinya dan diadakan di Stadium Merdeka iaitu stadium yang telah dicadangkan pembinaannya sejak sebelum merdeka oleh Tunku sendiri.







 Tunku mempunyai minat yang amat mendalam terhadap sukan bola sepak dan kemajuan bola sepak Malaya/Malaysia mula disegani sejak beliau memegang jawatan Presiden F.A.M. Pesta Bola Merdeka menjadi acara tahunan dan disertai oleh pelbagai negara. Malahan Tunku juga menyandang jawatan Presiden Asia Football Confederation (A.F.C) dari tahun 1958-1976. Tunku menjadi Presiden F.A.M sehingga tahun 1974.


Pada tahun 1975 sehingga tahun 1976, jawatan presiden F.A.M dipegang oleh Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua. Kemudian dari tahun 1976 sehingga tahun 1983, jawatan Presiden F.A.M dipegang oleh Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah. Beliau juga pernah menyandang jawatan Presiden A.F.C dari tahun 1978 sehingga tahun 1994.












Dari tahun 1984 sehingga 2014 jawatan Presiden F.A.M disandang oleh Yang Mulia Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah. Yang Mulia Tuanku Sultan juga pernah menyandang jawatan Presiden A.F.C dari tahun 1994 sehingga tahun 2002. Yang Mulia Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah pula menyandang jawatan Presiden F.A.M dari tahun 2014 hingga kini.










Oleh kerana sinonimnya lambang harimau pada sejarah F.A.M dan juga sejarah bola sepak Malaysia, maskot "Tuah" iaitu seekor spesis anak Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni telah menjadi maskot rasmi bagi pasukan bola sepak Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik Munich 1972. Maskot ini menjadi kebanggaan Malaysia dan diharapkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman Barat di samping memupuk semangat kesukanan di dalam Sukan Olimpik Munich. Setelah tamatnya Sukan Olimpik Munich, "Tuah" diserahkan kepada Zoo Munich.
Kini telah 82 tahun F.A.M diasaskan dan pautan sejarahnya di dalam membentuk sejarah bola sepak Malaysia penuh berliku dan pancaroba. Semoga kegemilangan bola sepak Malaysia pada masa silam dapat berulang kembali dan bukan hanya menjadi suatu lipatan sejarah yang semakin dilupakan ditelan zaman.

Saturday, 28 February 2015

FAM dengan jenama FAMe

Dimana agak silapnya, kenapa ramai dari kita tidak pernah mendengar FAM (FA Malaysia) pernah ada jenamanya sendiri.
Pada 5 Januari 2006, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad yang ketika itu Setiausaha Agung FAM melancarkan jenama dan aksesori FA Malaysia-FAme-menjadi permulaan untuk pemasaran barangan tempatan yang menjadi identiti kebangsaan. Menurut Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, idea ini adalah demikian kerana ramai pelancong dan pengumpul jersi dari negara asing yang datang melawat FAM tetapi tidak dapat membeli sebarang cenderahati sebagai kenangan. "Oleh itu, pihak kami berharap agar melalui pemasaran barangan jenama tempatan ini, kami dapat menawarkan kemeja t dan ditambah baik dari masa ke semasa dengan kepelbagaian barangan cenderahati seperti key chain, cawan dan sebagainya dengan harapan dapat mempromosikan perlawanan Malaysia.". Pada plelancaran jenama FAMe di Wisma FAM, Baju-T disarung oleh pemain tengah kebangsaan, K. Nanthakumar, pemain pertahanan Chan Wing Hoong dan Mohd Khaironnisam Shahabuddin sebagai simbolik kolaborasi di antara pengedar barangan sukan FBT.

Sehari selepas pelancaran jenama FAMe, 33 pasukan futsal yang mengambil bahagian dalam kejohanan Liga Futsal Kebangsaan 2006 telah menerima tajaan jersi jenama FAMe untuk digunakan ketika beraksi.

Tuesday, 24 February 2015

Kit Malaya 1958

Kembali semula aktif berblog untuk Kelab Jersi Kita pada tahun 2015 ini dengan ilustrasi kit klasik Malaya 1958. Untuk note, koleksi kit ilustrasi
Malaya/Malaysia ini adalah daripada himpunan projek buku yang pernah saya rancangkan lalu, tetapi terpaksa saya hentikan juga akhirnya, disebabkan oleh terbatasnya waktu dan penumpuan beberapa projek buku yang mungkin berlanjutan sehingga tahun depan.

Rekod cemerlang, Malaya menjuarai Pesta Bola Merdeka 1958 (sebuah pertandingan yang bergitu prestij di Asia pada era itu). Jersi utama hitam/kuning ini dipakai oleh pasukan Malaya sehinga ke tahun 1965, yang menariknya tiada sebarang logo persatuan di baju sebaliknya di kaki kiri seluar pasukan Malaya.

Seperti kebiasaanya pada era itu, stencil perkataan FAM menggunakan kulit kemudian dijahit pada seluar atau baju. Sila lihat pada gambar untuk rujukan.

Ketika kejuaraan Pesta Bola Merdeka 1958, Choo Seng Quee telah menjadi jurulatih bagi pasukan Malaya dan Chan Tuck Choy pula menjadi kapten pasukan Malaya.
Pasukan Malaya pada ketika itu terdiri daripada Lim Ah Lek, Boey Chong Lian, Zainal Abidin, Kwong Chong Yin, Woo Ah Wah, Choo Seng Quee, Yusof Bakar, M.Joseph, E.C.Dutton, Koay Ban Chuan, Wong Yuen Ching, Ahmad Nazari, Jalil Che Din, Rahim Omar, Chan Tuck Choy, Abdul Ghani Minhat, Lourdes, M.Govindasamy, Lim Kee Siong, Mok Wai Hong, Wong Kim Seng, Robert Choe dan Ng Boon Bee.

Ini adalah kejuaraan pertama pasukan Malaya dalam Pesta Bola Merdeka selepas ia mula berlangsung pada tahun 1957 dan permulaan karier penuh gemilang jurulatih Choo Seng Quee dalam memimpin pasukan Malaya. Sumbangan tidak ternilai Tunku Abdul Rahman di dalam memajukan bola sepak Malaya dan Malaysia juga terlakar setelah wujudnya Pesta Bola Merdeka ini yang menjadi acara tahunan bola sepak yang amat terkenal di rantau Asia.

Dari segi label baju, masih lagi tiada sumber sah, tetapi berkemungkinan jersi ini dibuat dari negara luar seperti England. Antara jenama pilihan berkemungkinan Garth & Chaves, St. Margaret, Hope Brothers dan beberapa nama lain.

Segala komen dan pernambahan maklumat untuk posted berkaitan pasukan Malaya 1958 ini amat dialukan. Dengan kerjasama warga pembaca juga dapatlah saya sentiasa mengemaskini segala informasi bekaitan posted ini. Ingin ditegaskan sebarang penggunaan gambar berkaitan ilustrasi ini untuk tujuan komersial hendaklah terlebih dahulu meminta kebenaran dari Pihak KJK.