PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

Saturday 27 June 2015

Perak Menjulang Piala Malaya 1926 Untuk Kali Pertama

Piala Malaya 1926 adalah pentas bola sepak yang penuh bersejarah bagi pasukan Perak. Pada ketika ini pasukan Perak diketuai oleh D.J. Fleming selaku kapten pasukan. Pertandingan bola sepak Piala Malaya 1926 disertai oleh beberapa buah negeri di Tanah Melayu yang dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Utara dan Zon Selatan. Zon Utara melibatkan pertandingan di antara Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Manakala, Zon Selatan melibatkan pertandingan di antara Singapura, Melaka dan Negeri Sembilan. Pertandingan akhir Piala Malaya 1926 adalah pertemuan di antara johan Zon Utara dengan johan Zon Selatan. Pertandingan di Zon Selatan bermula dengan pertandingan yang melibatkan pasukan Melaka, Singapura dan Negeri Sembilan. Kemudian, pasukan Singapura dan Negeri Sembilan berjaya mara ke pusingan akhir Zon Selatan. Akhirnya, pasukan Singapura muncul johan Zon Selatan mengalahkan pasukan Negeri Sembilan. Bagi pertandingan Zon Utara pula bermula dengan pertandingan di antara pasukan Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Pasukan Selangor dan Perak berjaya melangkah ke pusingan akhir Zon Utara. Pusingan akhir Zon Utara diadakan di Ipoh, Perak pada 6 September 1926 dan berlaku dengan sengit kerana kedua-dua pasukan bermain ketika cuaca hujan dan padang yang berlecak. Namun ia tidak menjadi halangan untuk pasukan Perak muncul johan Zon Utara mengalahkan pasukan Selangor 2-1. Selepas itu, pertandingan akhir Piala Malaya 1926 berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 11 September 1926 dengan pertembungan di antara johan Zon Utara dengan johan Zon Selatan iaitu di antara pasukan Perak dengan pasukan Singapura. Pemain pasukan Perak terdiri daripada Syed Drus (penjaga gol), Peng Seong, Xavier, Carey, Wayte, Edlin, Mee Onn, Jansz, Phooi Choong, Shee Dan, Osman (simpanan) dan diketuai oleh D.J. Fleming selaku kapten pasukan. Bagi pasukan Singapura pula, para pemainnya terdiri daripada  Boon Eng (penjaga gol), Cheok Wah, Yeow Soon, Seng Chye, Chee Lim, Boon Lay, Wan Puteh, Chan Hee, Yong Liang, Mun Fan dan diketuai oleh Roy Smith selaku kapten pasukan. Pertandingan akhir Piala Malaya 1926 ini berlangsung dengan sengitnya di hadapan 5 000 penonton dan juga disaksikan oleh Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson. Kekuatan kedua-dua pasukan amat hebat sehingga pertandingan ini terpaksa diheret sehingga ke masa tambahan dan akhirnya selepas lima minit masa tambahan, pasukan Perak berjaya menjaringkan gol melalui Pooi Choong dan muncul juara Piala Malaya buat kali pertamanya dalam sejarah iaitu pada tahun 1926. Pasukan Perak mengalahkan pasukan Singapura dengan kemenangan 1-0. Piala Malaya disampaikan oleh Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson kepada kapten pasukan Perak iaitu D.J. Fleming. Piala Malaya 1926 merupakan detik bersejarah dan kebanggaan bagi pasukan Perak kerana ini adalah kemenangan pertama Piala Malaya bagi pasukan Perak.


Pasukan Perak duduk sebelah kanan dan pasukan Singapura duduk sebelah kiri bergambar bersama Residen British di Selangor iaitu Encik H.W. Thomson yang duduk di tengah-tengah di belakang Piala Malaya.


Catatan berkenaan keputusan Piala Malaya 1926 bagi gambar di atas.