PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

Wednesday 15 July 2015

Pesta Bola Merdeka Yang Pertama Tahun 1957

    Buat julung kalinya, Tuanku Abdul Rahman selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya yang berjiwa sukan telah menganjurkan suatu pertandingan bola sepak berprestij yang dinamakan Pesta Bola Merdeka sempena menyambut kemerdekaan Malaya pada tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Ini adalah pertandingan Pesta Bola Merdeka yang pertama di dalam sejarah Malaysia. Pertandingan ini merangkumi beberapa buah negara serta tanah jajahan British di Asia seperti Malaya, Indonesia, Thailand, Singapura, Burma, Cambodia, Vietnam Selatan dan Hong Kong. Pesta Bola Merdeka ini diadakan pada 31 Ogos 1957 sehinggalah pada 7 September 1957 bertempat di Stadium Merdeka. Pasukan Malaya memulakan latihan pada 25 Ogos 1957 dan para pemainnya terdiri daripada pemain pasukan Selangor (Ng Mun Keai, Edwin Dutton, Abdul Ghani Minhat, S.Lourdes, Joe Soosay, Govindarajoo, Narayanasamy, Tang Cheok Foo), pemain pasukan Negeri Sembilan (Mok Wai Kin, Mok Wai Hong, Rahim Omar), pemain pasukan Perak (Wong Kong Leong, Liew Fee Yuen), pemain pasukan Johor (Ong Kim Hock, Yip Chong Yin, Voon Shin), pemain pasukan Melaka (Tan Ban Chuan) dan pemain pasukan Pulau Pinang (Pang Siang Hock, Aziz Ahmad, Chua Poh Aun). Arthur Manuel dilantik sebagai pengurus pasukan Malaya dan Neoh Boon Hean pula sebagai jurulatih pasukan Malaya.

Pesta Bola Merdeka 1957

Pasukan Malaya

    Perasmian Pesta Bola Merdeka ini dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman pada jam 5:30 petang pada 31 Ogos 1957 disertai dengan perbarisan masuk lapan pasukan yang bertanding di pertandingan Pesta Bola Merdeka ini. Piala kemenangan bagi juara Pesta Bola Merdeka ini dinamakan sebagai Piala Perdana Menteri dan pembuatannya menelan belanja Dollar Malaya 1,400.00. 

Piala Perdana Menteri

    Pada pusingan pertama, pasukan Malaya berjaya mengalahkan Burma dengan jaringan 5-2. Pasukan Malaya mara ke pusingan kedua. Di pusingan kedua, pasukan Malaya dikalahkan oleh pasukan Vietnam Selatan dengan jaringan 1-4. Kemudian pasukan Malaya bertemu dengan pasukan Hong Kong dan terikat dengan jaringan 3-3. Akhirnya pasukan Malaya mara ke pusingan penentuan tempat ketiga. Dukacitanya, pasukan Malaya kalah kepada pasukan Indonesia dengan jaringan 2-4. Pasukan Indonesia berjaya mendapat tempat ketiga. Manakala di pusingan akhir, pasukan Hong Kong muncul juara bagi Pesta Bola Merdeka 1957 dengan kemenangan mengalahkan pasukan Vietnam Selatan dengan jaringan 3-1. 

Pasukan Malaya bertemu pasukan Burma.

    Namun demikian, kemenangan pasukan Hong Kong sebagai juara Pesta Bola Merdeka 1957 adalah suatu tamparan hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaya dan juga kesemua pasukan kebangsaan yang bertanding di Pesta Bola Merdeka 1957 kerana pasukan Hong Kong yang menjuarai Pesta Bola Merdeka ini adalah bukan daripada pasukan bola sepak kebangsaan Hong Kong, tetapi adalah daripada pasukan Kelab Bola Sepak Eastern Athletic Association di Hong Kong. Punca utama Persatuan Bola Sepak Hong Kong menghantar pasukan bola sepaknya yang bertaraf kelab ke Pesta Bola Merdeka ini adalah kerana Persatuan Bola Sepak Hong Kong menganggap Pesta Bola Merdeka ini adalah kejohanan bola sepak yang tidak rasmi di rantau Asia Tenggara. Ini adalah suatu cabaran hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaya untuk mengangkat Pesta Bola Merdeka sebagai suatu kejohanan bola sepak yang rasmi dan berprestij di rantau Asia Tenggara. Kemudian, usaha Persatuan Bola Sepak Malaya berjaya membuahkan hasil apabila Pesta Bola Merdeka ini bukan sahaja menjadi suatu kejohanan bola sepak yang rasmi dan berprestij di rantau Asia Tenggara, tetapi ianya juga menjadi tumpuan utama pasukan bola sepak dari rantau lain seperti Jepun serta Korea Selatan untuk bertanding dan meningkatkan mutu bola sepak negara masing-masing. Walau bagaimanapun, kini Pesta Bola Merdeka sudah tidak semeriah dahulu kerana telah kehilangan taringnya yang suatu ketika dahulu sentiasa digegarkan oleh pasukan Harimau Malaya. Suatu usaha yang padu perlu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk mengembalikan zaman kegemilangan Pesta Bola Merdeka yang penuh bersejarah ini.