HMS Malaya adalah sebuah kapal perang kelas Permaisuri Elizabeth di dalam Tentera Laut Di Raja British. Dilancarkan pada 18 Mac 1915 dan ditauliahkan pada 1 Februari 1916. Kapal perang ini dinamakan HMS Malaya sempena menghargai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Malaya yang telah membiayai pembinaan kapal perang ini. Kapal perang ini telah beraksi semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
Tanggal 29 Januari 1921, kapal HMS Malaya telah berlabuh di Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang) untuk lawatan rasmi ke Malaya di bawah kepimpinan Kapten Percy M.R. Royds yang kemudiannya melakar sejarah penting terhadap kelahiran Piala HMS Malaya dan juga perkembangan bola sepak di Malaya. Kunjungan kapal HMS Malaya ke Malaya diisi dengan pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti perlawanan bola sepak dan ragbi. Perlawanan bola sepak dan ragbi diadakan di antara pasukan HMS Malaya dengan pasukan-pasukan tempatan dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Perak dan Selangor serta dari Negeri-Negeri Selat seperti Singapura dan Pulau Pinang. Rentetan daripada perlawanan pertama inilah lahirnya Piala HMS Malaya. Pada mulanya perlawanan bola sepak ini lebih dikenali sebagai Piala Malaya tetapi terdapat juga akhbar tempatan yang telah menggelarnya sebagai Piala HMS Malaya. Namun demikian, nama Piala HMS Malaya secara rasmi mula digunakan pada tahun 1933 menggantikan nama Piala Malaya yang digunakan pada tahun 1921 sehingga tahun 1932. Pada perlawanan pertama ini, pasukan Singapura menjadi johan. Piala disumbangkan oleh kapal HMS Malaya melalui Kapten Percy M.R. Royds. Setelah tamatnya perlawanan pertama Piala Malaya ini, pada 2 Oktober 1921, Kapten Percy M.R. Royds telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Setiausaha Kerajaan jajahan British di Malaya agar memasukkan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di dalam perlawanan Piala Malaya tahun berikutnya. Semangat kesukanan yang ada pada Kapten Percy M.R. Royds inilah yang akhirnya berjaya melibatkan keseluruhan jajahan British merangkumi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat di bawah satu perlawanan bola sepak Piala Malaya yang kemudiannya menyumbang kepada perkembangan sukan bola sepak di Malaya sehingga disegani ramai.
Pasukan bola sepak kapal HMS Malaya.
Piala yang disumbangkan oleh kapal HMS Malaya pada tahun 1921.
No comments:
Post a Comment