PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

PROUD AND LOVED WITH OUR FOOTBALL HERITAGE

Sunday, 1 March 2015

Wujudnya F.A.M dan simboliknya maskot "Tuah"

Tanggal 13 September 1926 terlakarlah sebuah sejarah bola sepak tanah air, suatu mesyuarat bersama wakil-wakil pertandingan bola sepak Piala Malaya dari Singapura, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan telah diadakan pada hari Sabtu pagi di Kelab Selangor, di mana Encik J.M. Sime adalah pengerusinya. Di dalam mesyuarat tersebut telah dipersetujui secara sebulat suara untuk menubuhkan Malayan Football Association (M.F.A) dan Encik J.M. Sime adalah presidennya. Draf peraturan M.F.A pula dibuat oleh Encik W.D. Mavor dari Selangor Football Association. Dalam mesyuarat ini juga diputuskan bahawa pejabat berdaftar M.F.A hendaklah berada di ibu negeri persekutuan iaitu Kuala Lumpur.

Bermula dari detik ini, kesemua persatuan, kelab dan pertubuhan bola sepak di Malaya dan Singapura diletakkan di bawah satu bumbung M.F.A yang bertanggungjawab mengawal selia perkembangan serta kemajuan bola sepak Malaya dan Singapura.

Walau bagaimanapun, pada mesyuarat tahunan M.F.A pada 18 Januari 1932 bertempat di Kelab Selangor yang dipengerusikan oleh Presiden M.F.A, Encik Andrew Caldecott dan disokong oleh Timbalan Presiden M.F.A, Dr. J.S. Webster, ahli-ahli mesyuarat telah memutuskan untuk penjenamaan semula nama M.F.A kepada nama baru iaitu Football Association of Malaya (F.A.M). Mesyuarat ini juga dihadiri oleh wakil-wakil dari Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Singapura.








Akhirnya perkara ini menjadi kenyataan pada tahun 1933 di mana nama Malayan Football Association (M.F.A) ditukarkan kepada nama Football Association of Malaya (F.A.M) dan presidennya ialah Encik Andrew Caldecott.


Namun pada tahun 1951 adalah tahun yang amat bermakna apabila jawatan Presiden F.A.M disandang oleh Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu bakal Perdana Menteri Malaya/Malaysia yang pertama. Ketika Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan Pesta Bola Merdeka buat pertama kalinya dan diadakan di Stadium Merdeka iaitu stadium yang telah dicadangkan pembinaannya sejak sebelum merdeka oleh Tunku sendiri.







 Tunku mempunyai minat yang amat mendalam terhadap sukan bola sepak dan kemajuan bola sepak Malaya/Malaysia mula disegani sejak beliau memegang jawatan Presiden F.A.M. Pesta Bola Merdeka menjadi acara tahunan dan disertai oleh pelbagai negara. Malahan Tunku juga menyandang jawatan Presiden Asia Football Confederation (A.F.C) dari tahun 1958-1976. Tunku menjadi Presiden F.A.M sehingga tahun 1974.


Pada tahun 1975 sehingga tahun 1976, jawatan presiden F.A.M dipegang oleh Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua. Kemudian dari tahun 1976 sehingga tahun 1983, jawatan Presiden F.A.M dipegang oleh Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah. Beliau juga pernah menyandang jawatan Presiden A.F.C dari tahun 1978 sehingga tahun 1994.












Dari tahun 1984 sehingga 2014 jawatan Presiden F.A.M disandang oleh Yang Mulia Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah. Yang Mulia Tuanku Sultan juga pernah menyandang jawatan Presiden A.F.C dari tahun 1994 sehingga tahun 2002. Yang Mulia Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah pula menyandang jawatan Presiden F.A.M dari tahun 2014 hingga kini.










Oleh kerana sinonimnya lambang harimau pada sejarah F.A.M dan juga sejarah bola sepak Malaysia, maskot "Tuah" iaitu seekor spesis anak Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni telah menjadi maskot rasmi bagi pasukan bola sepak Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik Munich 1972. Maskot ini menjadi kebanggaan Malaysia dan diharapkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman Barat di samping memupuk semangat kesukanan di dalam Sukan Olimpik Munich. Setelah tamatnya Sukan Olimpik Munich, "Tuah" diserahkan kepada Zoo Munich.
Kini telah 82 tahun F.A.M diasaskan dan pautan sejarahnya di dalam membentuk sejarah bola sepak Malaysia penuh berliku dan pancaroba. Semoga kegemilangan bola sepak Malaysia pada masa silam dapat berulang kembali dan bukan hanya menjadi suatu lipatan sejarah yang semakin dilupakan ditelan zaman.

No comments:

Post a Comment